Pengertian Selawat
Selawat adalah jamak dari kalimat solat . Selawat menurut bahasa ertinya ialah doa , rahmat dari allah , memberi berkah dan ibadat .
Dalam kitab suci Al-Quran Allah berfirman yang bermaksud “ Sesungguhnya Allah dan para malaikat-nya selawat kepada Nabi . Hai orang² yang beriman berselawatlah kamu kepadanya dan ucaplah salam penghormatan kepadanya .” ( Surah Al-Ahzab:ayat 56 )
Selawat kepada nabi terdiri dari tiga macam tingkatan :
1. Selawat Allah kepada Nabi dan Rasulnya , istimewa kepada Nabi Muhammad S.A.W. bererti Allah memberi rahmat , memuji dan melahirkan keutamaan serta mendekatkan Nabi Muhammad S.A.W kepadanya .
2. Selawat para Malaikat kepada para Nabi dan Rasul dan Nabi Muhammad S.A.W , bererti malaikat² mendoakan atau memohon rahmat kemuliaan serta keampunan .
3. Selawat manusia kepada Nabi Muhammad S.A.W , bererti mengakui kerasulannya , memohon kepada Allah melahirkan keutamaan , kemuliaan dan mengakui serta mengikuti kebenaran ajaran yang dibawanya .
Hukum Membaca Selawat
Para ulamak telah memberi berbagai pendapat tentang hokum membaca selawat ke atas Nabi S.A.W diantaranya :
1. Imam Syafie mengatakan , selawat itu wajib dibacakan dlm tasyahud akhir, iaitu di antara tasyahud (tahiyyat) dan salam .
2. Imam Asy-Sya’bi berpendapat, selawat wajib dibaca dalam solat dalam kedu-dua tasyhud awal dan akhir .
3. Abu Jaafar Al-Baqir mengatakan , selawat wajib dibaca di dalam solat sama ada dlm tasyahud awal atau akhir .
4. Abu Bakar ibnu Al-Baqir berpendapat , selawat wajib dibaca tanpa mengira bilangannya .
5. Abu Bakar Ar-Razi & Ibnu Hazmin berpendapat , berselawat wajib dalam seumur hidup walaupun hanya sekali .
6. At-Thahawi berpendapat , selawat wajib apabila seseorang mendengar orang menyebut nama Nabi Muhammad S.A.W
7. Az-Zamakhsyari berpendapat , selawat wajib dibaca pada tiap² sesuatu majlis .
8. Ibnu Jarir At-Thabari berpendapat , berselawat kepada Nabi adalah suatu pekerjaan yang disukai sahaja .
9. Ibnu Qashshar berpendapat , berselawat kpd Nabi adalah suatu ibadah wajib .
Kesimpulannya , membaca selawat ke atas Nabi S.A.W adalah suatu amaliah dan ibadah yang terpuji yang amat disukai Allah dan para malaikat-nya serta sangat dianjurkan sebagai suatu penghormatan dan memohon rahmat kepada Nabi S.A.W.
Dalil-dalil Hadis Tentang Selawat
1. Sabda Nabi S.A.W “ Dari Ibnu Mas’ud r.a. bahawa Rasulullah s.a.w bersabda : Orang yang terdekat denganku pada hari kiamat ialah orang yang paling banyak berselawat kepadaku.” ( Hadis Riwayat At-Trimidzi )
2. Sabda Nabi s.a.w : “ Berselawat atas para Nabi Allah dan utusan-Nya sebagaimana kamu berselawat kepadaku kerana mereka itu sama diutuskan sebagaimana aku diutus . “ (Hadis Riwayat Ahmad & Al-Khatib )
3. Sabda Nabi s.a.w : “ Dari Abu Hurairah r.a berkata : Rasulullah s.a.w bersabda : Janganlah kamu jadikan kuburku sebagai tempat perayaan dan berselawatlah kepadaku , maka sesungguhnya bacaan selawatmu itu akan sampai kepadaku dimana sahaja kamu berada . “ ( Hadis Riwayat Abu Daud )
4. Sabda Nabi s.a.w : “ Tiada dari seseorang yang mengucapkan salam kepadaku melainkan Allah menerima ruhku sehingga aku menjawab salam kepadanya. “ ( Hadis Riwayat Abu Daud )
Berdasarkan dari hadis² , jelas bahawa membaca selawat kepada Nabi s.a.w adalah suatu dari rangkaian iman dan ibadah yang wajib disempurnakan oleh kaum Muslimin dengan penuh kesungguhan dan keikhlasan . Semoga dengan sentiasa berselawat ke atas Nabi , Allah akan memberi rahmat dan keberkatan dalam kehidupan kaum Muslimin .
Waktu-Waktu berselawat
Terdapat banyak hadis yang menerangkan mengenai tempat² dan waktu² yang dituntut supaya kaum Muslimin membaca selawat ke atas Nabi s.a.w. Diantaranya :
1. Ketika hendak masuk ke dalam masjid dan ketika hendak keluar darinya . Nabi s.aw bersabda : “ Apabila seseorang kamu masuk ke dalam masjid , maka hendaklah ia membaca salam kepadaku ( selawat dan salam ). Sesudah itu berdoa : Wahai Tuhanku , bukakanlah untukku segala pintu rahmat-Mu . Dan apabila ia hendak keluar hendaklah berdoa : Wahai Tuhanku , aku memohon kepadamu limpahan rahmat-Mu .” ( Hadis Riwayat Abu Daud )
Ibnu Sunni menceritakan bahawa apabila Rasulullah s.a.w masuk dari masjid beliau membaca selawat yang bermaksud “ Dengan Nama Allah , selawatlah keatas Muhammad “
2. Sesudah Azan . Sabda Nabi s.a.w yang bermaksud : “ Apabila kamu mendengar mu’azzin yang menyerukan azan, maka jawablah dengan bacaan yang sama ia baca. Setelah selesai maka berselawatlah kamu kepadaku .” ( Hadis Riwayat Ahmad dan Muslim )
3. Sesudah membaca tasyahud akhir dalam sembahyang .
4. Di dalam sembahyang jenazah . Menurut Imam Syafi’e dalam Al-Musnad : “ Sunnah Rasulullah s.a.w dalam melaksanakan sembahyang jenazah adalah bertakbir pada permulaannya , setelah itu ia membaca fatihah lalu takbir kedua dan sesudahnya membaca selawat dan kemudian bertakbir lagi kali ketiga.”
5. Diantara takbir-takbir sembahyang sunat hari raya . Berkata sebahagian ulamak adalah lebih baik jika membaca selawat mengiringi takbir hari raya seperti yang bermaksud “ Maha suci Allah segala puji dan sanjungan bagi Allah jua . Tiada Tuhan yang disembah melainkan Allah yang Maha Besar. Ya Allah , muliakan olehmu Nabi Muhammad dan keluarganya. Ya Allah ampuni aku dan berilah rahmat kepadaku. “
6. Di permulaan dan akhir doa . Nabi bersabda : “ Sesungguhnya doa itu berhenti antara langit dan bumi . tiada naik , barang sedikit jua daripadanya sehingga kamu berselawat kepada Nabimu. “ ( Hadis Riwayat At-Tirmidzi )
7. Di akhir qunut dalam sembahyang . Diriwayatkan oleh An-Nasai bahawa disukai seseorang mengakhiri qunut dengan membaca selawat yg bermaksud “ Dan mudah-mudahan Allah melimpahkan selawat (rahmat) atas Muhammad . “
8. Di malam dan di hari Jumaat . Sabda Nabi s.a.w yg bermaksud “ Banyakkanlah olehmu membaca selawat di malam hari Jumaat dan siangnya kerana selawat itu dikemukakan kepadaku . “ ( Hadis Riwayat Thabarani )
9. Di dalam khutbah Jumaat . Dalam mazhab Syafi’e para khatib wajib membaca selawat kepada Nabi Muhammad s.a.w pada permulaan kutbah , sesudah membaca thamid dan juga sebelum akhir khutbah Jumaat .
10. Ketika berziarah di makam atau kubur Nabi Muhammad s.a.w . Sabda Nabi s.a.w : “ Tidak seorang pun di antara kamu yang memberi salamnya iaitu di sisi kuburku , melainkan Allah mengembalikan kepadaku ruhku untuk menjawab salamnya. “ ( Hadis Riwayat Abu Daud )
11. Sesudah bertalbiah . Sabda Nabi s.a.w : “ Memang disuruh seseorang membaca selawat untuk Nabi ketika ia telah selesai talbiahnya dalam segala keadaan . “ ( Hadis Riwayat Syafi’i &Daraquthni )
12. Ketika setiap mengadakan majlis atau keramaian . Sabda Nabi s.a.w : “ Tiadalah duduk suatu kaum di dalam sesuatu majlis sedang mereka telah menyebut (mengingati) Allah Taala dan tiada berselawat ke atas Nabinya, melainkan menderita nescaya Allah akan menyeksa mereka dan jika Allah menghendaki nescaya akan mengampuni mereka .” (Hadis Riwayat At-Tirmidzi & Abu Daud)
13. Ketika berjumpa sahabat handai atau saudara mara sesame Islam . Sabda Nabi s.a.w : “ Tiadalah dua hamba yang saling cinta mencintai kerana Allah yang berjumpa salah seorang yang lain lalu berjabat tangan ( bersalam ) dan berselawat kepada Nabi s.a.w . melainkan Allah mengampuni dosanya sebelum mereka berpisah , baik yang telah lalu ataupun yang akan datang . “ ( Hadis riwayat Ibnu Sunni )
14. Ketika akan memulakan sesuatu pekerjaan yang baik atau penting . Sabda Nabi s.a.w : “ Setiap pekerjaan yang baik yang tidak dimulai dengan hamdalah (memuji Allah) dan selawat , maka pekerjaan atau urusan itu terputus dan hilang barkahnya . “ ( Hadis Riwayat Ar-Rahawi )
15. ketika mendengar orang menyebut nama Nabi s.a.w . Sabda Nabi s.a.w : “ orang yang bakhil itu adalah orang yang tidak mahu berselawat ketika orang menyebut namaku di sisinya . “ ( Hadis Riwayat At-Tirmidzi )
16. Ketika telinga berdengung . Sabda Nabi s.a.w : “ Jika telinga salah seorang dari kamu berdengung , maka hendaklah ia mengingati dan berselawat kepadaku . “ ( Hadis Riwayat Ibnu Sunni )
17. Ketika mengalami kesusahan dan kebimbangan . Diberitakan oleh Ubay bin Kaab bahawa seorang lelaki bertanya kepada Rasulullah , ujurnya : “ Ya Rasulullah bagaimana pendapat engkau sekiranya aku jadikan selawat untuk engkau semua? Jawap Rasulullah s.a.w “ Kalau demikian Allah akan memelihara engkau baik mengenai dunia mahu pun mengenai akhiratmu. “ ( Hadis Riwayat Ahmad )
18. Setiap waktu pagi dan petang . Sabda Nabi s.a.w : “ Barang siapa berselawat kepadaku waktu pagi sepuluh kali dan waktu petang sepuluh kali , maka ia akan mendapat syafaatku di hari kiamat . “ ( Hadis Riwayat Thabarani )
0 comments:
Post a Comment
CaDangan @ pendapat anda ..